Rabu, Oktober 6

Tip-tip Efektif Pemimpin Rohani Al-Ghazali Buat Remaja

Hati yang Gelap & Terang



"Ah, gelap!" Ungkapan ini selalu digunakan apabila fikiran anda sudah buntu, sudah tersangkut, tidak boleh mencari penyelesaian pada sesuatu masalah. Gelap maknanya memang tidak ada apa-apa gambaran, tidak ada cahaya. Sehinggalah fikiran kita dapat berfikir dan melihat sesuatu masalah secara jelas.

Ternyata istilah ini juga digunakan untuk keadaan hati. Ada yang terang benderang dan ada juga yang gelap dan hitam. Huraian al-Ghazali mengenai jenis hati berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w.



"Hati itu ada empat jenis hati yang bersih, padanya ada pelita yang bersinar gemilang. Maka itulah hati orang mukmin. Hati hitam terbalik, maka itulah hati orang kafir. Hati yang terbungkus, yang terikat oleh bungkusannya, itulah hati orang yang munafik. Dan hati yang melintang, padanya keimanan dan kemunafikan." (HR Ahmad dan Ath-Thabrani)

Jadi, perbezaan antara seorang mukmin dengan orang kafir terletak pada hatinya. Orang mukmin itu mempunyai hati yang terang benderang, sehingga dirinya boleh membezakan dan melihat apa yang dihadapinya secara hakikat dan boleh mengambil hikmah daripadanya. Semua masalah, ujian ataupun cubaan yang dihadapi orang mukmin selalu boleh diambil pengajarannya. Membawanya semakin mendekati Tuhan.

Sementara itu, orang kafir hatinya tertutup. Pengertian kafir sendiri dalam bahasa Arab berasal dari kafara, yang bererti tertutup. Apa yang tertutup dan apakah yang menutupinya?

Sebagaimana dalam hadis yang sudah disebutkan sebelumnya, setiap hati manusia sebenarnya berpotensi memancarkan cahaya. Hanya bagi orang-orang yang banyak dosa ataupun orang kafir, sumber cahayanya itu tertutup ataupun mungkin padam sama sekali.

Mungkin anda pernah mendengar kisah Dajjal. Dijelaskan dalam beberapa riwayat dan hadis, Dajjal itu bermata satu dan di dahinya tertulus huruf kaf, fa dan ra atau kafara (kafir). Jadi, watak-watak Dajjal dan juga iblis sesuai dengan watak manusia yang hatinya tertutup dan gelap gelita.

Manakala yang dikatakan hati orang munafik adalah hati yang bercampur antara keimanan dan kekafiran. Hati jenis ini seperti hati yang melekat pada bungkusannya. Bungkusan dalam pengertian ini ialah jasad ataupun tubuh kita. Jadi, hati yang masih cenderung pada dunia, masih mencintai perkara yang berbentuk material, belum dikatakan beriman. Hati seperti ini berada di antara dua keadaan; kadang-kadang beriman dan kadang-kadang kafir.

Kita ambil kesimpulan, masalah keimanan dan kekafiran adalah masalah keadaan hati. Ia sama sekali bukan daripada sebutan orang ramai juga bukan daripada ulama dan tokoh terkemuka. Sebagaimana hadis mengatakan, "Hati anak Adam berada di antara dua jari Allah yang maha Rahman." Ertinya, keadaan hati, terang dan gelapnya berada dalam kekuasaan Tuhan. Dalam pengertian ini, kita perlu berhati-hati apabila mengatakan dan berasa diri kita beriman dan menganggap orang lain kafir. Apalagi sehingga menuduh orang kafir itu perlu diperangi.

Kenapa tidak boleh? Bukankah Quran memerintahkan kekafiran itu perlu diperangi?

Memang benar, kekafiranlah yang perlu diperangi. Kekafiran yang ada dalam diri dan kekafiran yang ada pada orang lain dan masyarakat. Diperangi di sini tidak semestinya dengan pedang dan senjata. Diperangi di sini mempunyai pengertian supaya qalbu-qalbu dalam diri dan juga orang lain dapat bersinar terang, mempunyai cahaya. Bagaimana caranya? Iaitu dengan jalan mengamalkan amalan zahir dan batin secara utuh, mengerjakan agama dengan betul.

Pengertian perang dan jihad melawan orang kafir ataupun membunuh orang kafir mungkin bukan dalam konteks dibunuh secara fizikal kecuali dalam keadaan perang fizikal yang sebenar. Maksud di sini, (bukan bunuh pakai pisau, pedang @ senjata) yang dibunuh itu adalah kekafiran hatinya.

Apabila hati sudah bersih daripada kekafiran, ia akan bersinar dan bersih, bebas daripada penyakit hati. Pada akhirnya memberikan ilham, idea dan wawasan pada fikiran kita. Sudah tentu idea ataupun wawasan yang timbul adalah mengenai kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan